Kembali ke rumah

Notis Privasi

Dikemas kini 8 Oktober 2026

aipetmon (versi beta) ialah permainan bela kucing maya. Notis ini menerangkan data yang kami kumpul dan cara kami menggunakannya, selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Data yang kami simpan

  • Akaun: nama pengguna dan kata laluan (disimpan dalam bentuk hash, bukan teks asal). Haiwan kau terikat pada akaun ni, jadi boleh dibuka dari peranti lain.
  • Kuki sesi: pengenal rawak supaya kau kekal log masuk.
  • Emel (pilihan): hanya untuk pautan pengesahan dan set semula kata laluan. Tidak dipapar kepada pemain lain dan tidak digunakan untuk pemasaran.
  • Log masuk dengan Google, Facebook atau TikTok (pilihan): kami simpan ID akaun unik dari penyedia itu sahaja, bukan emel, nama, gambar atau senarai rakan kau.
  • Tahun lahir (pilihan): hanya untuk had umur ciri borak pintar. Selepas ditetapkan, ia hanya boleh ditukar ke tahun yang lebih muda.
  • Data permainan: kucing, aktiviti, Bintang, barang, kawan, hadiah dan diari.
  • Mesej borak dengan kucing: dipadam secara automatik selepas 30 hari. Nombor telefon, e-mel, nombor kad pengenalan dan alamat bernombor cuba dibuang secara automatik sebelum disimpan (usaha terbaik, jadi jangan kongsi maklumat peribadi).
  • Ingatan kucing: untuk pengguna 13 tahun ke atas sahaja, kucing boleh ingat nama panggilan kau dan perkara yang kau suka atau tak suka (satu fakta setiap jenis; yang baru ganti yang lama). Disimpan sehingga akaun dipadam. Tiada ingatan disimpan untuk pengguna bawah 13 tahun atau yang belum nyatakan tahun lahir, dan ingatan sedia ada dipadam jika umur bawah 13.
  • Langganan notifikasi: hanya kalau kau hidupkan notifikasi. Dimatikan bila kau log keluar di peranti itu.
  • Chat dengan kawan: mesej antara kawan yang saling tambah, dipadam secara automatik selepas 90 hari. Laporan yang kau hantar (termasuk salinan mesej yang dilaporkan) disimpan untuk semakan admin.
  • Profil: bio pendek pilihan (13 tahun ke atas), pingat, pencapaian dan status dalam talian (hanya kawan yang saling tambah nampak; boleh disorok).
  • Undian pertandingan: kuki rawak pengundi (tanpa identiti) dan rangkaian (IP) untuk had satu undian sehari; disimpan 120 hari untuk mengesan penipuan.
  • Alamat IP: untuk keselamatan dan had kadar; dipadam selepas 90 hari.

Tempoh simpanan

  • Mesej borak: 30 hari.
  • Rekod notifikasi, rekod lawatan, hadiah yang dah diterima dan chat dengan kawan: 90 hari.
  • Undian pertandingan: 120 hari.
  • Kiraan aktiviti harian (untuk diari dan had harian): 120 hari.
  • Transaksi Bintang (dan rekod Kredit lama yang dah tidak dijual): disimpan untuk integriti sistem, tanpa nama selepas akaun dipadam.
  • Sandaran pangkalan data: dibuat setiap malam dan disimpan 14 hari. Data yang kau padam boleh kekal dalam sandaran sehingga 14 hari sebelum hilang sepenuhnya.

Tujuan

Menjalankan permainan, menjaga keselamatan akaun, mencegah penyalahgunaan, dan statistik agregat (tanpa nama) untuk menambah baik permainan.

Pihak ketiga dan pemindahan ke luar Malaysia

  • Borak pintar (13 tahun ke atas): mesej kau (selepas maklumat peribadi cuba dibuang), keadaan kucing dan ingatan kucing dihantar kepada DeepSeek, pembekal AI yang pelayannya di luar Malaysia, untuk menjana balasan kucing. Diari kucing juga boleh dijana dengan cara ini menggunakan kiraan aktiviti dan nama kucing sahaja.
  • Notifikasi dihantar melalui perkhidmatan push pelayar kau (contohnya Google, Mozilla, Apple atau Microsoft).
  • Emel pengesahan dan set semula kata laluan dihantar melalui Resend (pelayan di luar Malaysia).
  • Kalau kau pilih log masuk dengan Google, Facebook atau TikTok, penyedia itu mengendalikan log masuk mengikut notis privasi mereka.
  • Data cuaca diambil dari MET Malaysia melalui data.gov.my (tiada data kau dihantar).
  • Kami tidak menjual data kau dan tidak memaparkan iklan pihak ketiga.

Lawatan rumah

Pemain lain yang ada pautan rumah kau boleh melihat nama dan rupa kucing kau serta hiasan rumah. Aksi kucing yang dilihat pelawat dijana sendiri oleh permainan, jadi ia tidak menunjukkan bila kau aktif, mengusap atau memanggil kucing. Hidupkan Rumah peribadi di menu Kawan supaya hanya kawan dalam senarai kau boleh melawat.

Kuki

Kami guna kuki sesi yang penting untuk log masuk (dan kuki sementara 15 minit semasa log masuk media sosial), serta kuki rawak pengundi di halaman pertandingan. Tiada kuki penjejakan pengiklanan.

Hak kau dan cara padam data

Kau boleh mengakses dan membetulkan data melalui Settings, dan memadam akaun bila-bila masa melalui Settings, kemudian Padam akaun dan semua data (sahkan dengan kata laluan, atau nama pengguna kalau akaun dibuat dengan Google, Facebook atau TikTok). Ini memadam haiwan, data permainan, emel dan sambungan media sosial, chat, pencapaian dan pingat. Rekod transaksi Bintang disimpan tanpa nama untuk integriti sistem.

Kanak-kanak

Borak pintar, ingatan kucing, teks bebas dalam chat dan bio profil dimatikan untuk pengguna bawah 13 tahun (mereka guna frasa dan stiker). Tiada pembelian dengan wang sebenar. Taman hanya memaparkan haiwan, bukan pemilik. Ibu bapa digalakkan memantau penggunaan anak-anak.

Hubungi

Untuk sebarang pertanyaan privasi, hubungi pasukan aipetmon melalui laman aipetmon.com.